Saturday, March 11, 2017

KONSEP KEJIRANAN



 PENGENALAN

Di dalam Islam, kita telah diajar bahawa amalan hidup berjiran merupakan sesuatu perkara yang amat penting dan perlu dijaga bagi menjamin kesejahteraan hidup bermasyarakat.. Secara fitrahnya, manusia tidak boleh hidup seorang diri atau mengasingkan diri. Oleh itu, Islam telah menekankan kepentingan menjalinkan hubungan dalam kalangan masyarakat sekeliling.Dari segi bahasa, jiran berasal daripada bahasa Arab yang membawa pengertian orang yang tinggal bersebelahan atau tetangga. Dari segi istilah jiran adalah orang-orang yang tinggal bersebelahan dengan rumah, bersebelahan kampung, daerah malahan lebih besar daripada itu iaitu jiran yang bersebelahan dengan negara. Jiran juga bererti ahli-ahli 40 buah rumah setiap penjuru yang mengelilingi rumah individu. Hal ini sebagaimana hadith riwayat Abu Daud, telah bersabda Rasulullah s.a.w iaitu :


 Maksudnya : “Empat puluh buah rumah tetap sebagai jiran tetangga”



Berdasarkan kepada hadith Rasulullah s.a.w menunjukkan bahawa walaupun jarak daripada rumah seseorang diselangi 40 buah rumah, ia juga dikira sebagai jiran tetangga. Menurut Ali Ibn Talhah daripada Ibnu Abbas, jiran membawa pengertian hubungan kekeluargaan atau pertalian darah. Jiran juga boleh dikatakan sebagai apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. Hubungan yang baik antara jiran dapat membentuk sifat saling membantu, bekerjasama, saling menyayangi, menghormati dan sebagainya. Hubungan baik sesama jiran perlu sentiasa dijaga seperti yang dituntut dalam agama.
Di sini akan dinyatakan apakah yang dimaksudkan dengan semangat kejiranan, kepentingan wujudnya semangat kejiranan, bagaimana untuk memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat, dan faktor-faktor kurangnya semangat kejiranan dalam masyarakat.


SEMANGAT KEJIRANAN

       Semangat kejiranan merupakan unsur penting dalam kehidupan bermasyarakat. Selain dapat memupuk persefahaman sesama penduduk, semangat sebegini dapat menyatupadukan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara kita. Pada zaman dahulu, hubungan sesama jiran sangat rapat, bak kata pepatah, hidup sandar-menyandar “seperti aur dengan tebing.” Pada zaman kini, hubungan sesama jiran renggang “bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing”

        Sebagai seorang yang hidup berjiran kita perlulah memelihara semangat kejiranan kerana ianya dapat mengukuhkan sebuah masyarakat dan menjalinkan perpaduan yang teguh. Perpaduan yang teguh akan menjadikan dasar pembangunan negara ke arah yang lebih baik serta mencapai status negara maju. Jiran Sepakat Membawa Berkat, kata-kata ini menunjukkan bahawa kesepakatan dalam masyarakat dapat menghasilkan sesuatu yang baik.

         Selain itu, semangat kejiranan yang teguh dapat menjadikan sesebuah masyarakat itu lebih  cekap dalam melaksanakan sesebuah program. Hubungan mereka amat akrab dan boleh meningkatkan ramai kenalan dalam sesebuah masyarakat. Sesuatu pekerjaan dapat dilaksanakan dengan cepat dan lancar dengan bantuan ramai pihak. Jika masyarakat bertindak bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing, sesuatu pekerjaan atau program tidak dapat dilaksanakan dengan cekap. Contohnya, jiran membantu jiran yang lain dalam mengadakan kenduri dengan bersama-sama menyediakan makanan untuk tetamu dan mendirikan khemah
untuk para tetamu. Lantaran itu, pekerjaan dapat diselesaikan dengan mudah. Bukan itu sahaja, hubungan yang erat dapat diwujudkan ketika melakukan pekerjaan bersama-sama. Masyarakat yang memupuk semangat kejiranan dapat melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan lebih cekap dan menghasilkan sesuatu yang lebih baik.  


PUNCA-PUNCA SEMANGAT KEJIRANAN SEMAKIN LUNTUR

       
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan semangat kejiranan semakin hilang dek ditelan zaman. Salah satunya ialah perubahan gaya hidup masyarakat sekarang yang terlalu sibuk mencari rezeki untuk menyara hidup atau keluarga masing-masing. Kos sara hidup yang tinggi serta tekanan hidup yang serba moden ini telah menyebabkan manusia meletakkan wang ringgit sebagai perkara utama dan mereka menganggap sesiapa yang lagi banyak mempunyai wang ringgit, dia yang lebih berkuasa. Hal ini menyebabkan, manusia taksub mengejar wang ringgit sehingga keletihan dan kesuntukan masa untuk bertegur sapa atau bertanya khabar sesama jiran. Konsep pekerjaan yang diamalkan oleh masyarakat dahulu dan masyarakat sekarang amatlah berbeza. Masyarakat zaman dahulu, pekerjaan mereka berasaskan pertanian yang memerlukan semangat bekerjasama di antara mereka, bak kata pepatah, “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”. Manakala masyarakat sekarang bekerja sendiri yang tidak menekankan amalan kerjasama. Perubahan hidup masyarakat ini juga telah menjadi salah satu faktor mengapa semangat kejiranan kian pudar.

       Seterusnya , kemajuan dalam bidang teknologi atau media massa juga salah satu punca yang mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan.Teknologi merupakan satu perkara yang paling penting pada era ini. Pada zaman sekarang., bidang teknologi semakin berkembang dengan maju dan pesat. Penggunaan media elektronik seperti telefon bimbit, televisyen dan komputer pada masa sekarang yang menyebabkan semangat kejiranan kini semakin hilang. Masyarakat sekarang terlalu asyik menggunakan kemudahan yang terdapat di sekeliling mereka yang tidak memerlukan mereka keluar rumah dan bersusah-payah untuk mendapatkannya. Kemudahan peralatan canggih seperti ini selalunya terdapat di dalam rumah mereka yang menyebabkan mereka semakin tidak menghiraukan semangat kejiranan. Budaya sebegini menyebabkan amalan kunjung-mengunjungi sesama jiran semakin berkurangan. Ekoran dengan itu, kita akan menjadi hilang kemahiran untuk berkomunikasi dan bersikap ramah-tamah di dalam pergaulan., sebaliknya kita hanya akan menjadi seperti kera sumbang dan hanya mampu berinteraksi dengan orang lain melalui teknologi. Oleh itu, kemajuan dalam bidang teknologi pada masa sekarang turut mempengaruhi kelunturan semangat kejiranan..


        Selain itu, arus pembangunan yang semakin pesat melanda negara kita juga menjadi punca semangat kejiranan semakin luntur. Dewasa ini, pembangunan negara berlaku dengan pesat sekali.Hal ini mengakibatkan semangat kejiranan semakin luntur kerana masyarakat akan menghabiskan masa terluang mereka dengan mengunjungi tempat-tempat seperti pusat beli-belah, taman-taman permainan dan juga pusat hiburan yang tumbuh bagai cendawan. Situasi ini perlu ditangani dengan segera demi kebaikan semua pihak. Kita tidak ingin melihat wujudnya masyarakat yang mementingkan diri sendiri berpanjangan dalam masyarakat.Hal ini demikian kerana masyarakat yang bersikap seperti ini tidak akan berjaya kerana perpaduan mereka amat rapuh dan mudah dipengaruhi oleh anasir luar. Tuntasnya, pembangunan yang begitu pesat melanda negara juga menjadi punca kepada lunturnya semangat kejiranan dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.


LANGKAH- LANGKAH MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN

        Perpaduan merupakan antara elemen terpenting dalam pembentukan sesebuah negara yang harmoni. Perpaduan ini dapat dipupuk dengan semangat kejiranan yang utuh. Sememangnya tidak dapat disangkal bahawa masyarakat yang bersatu padu bermula dengan adanya semangat kejiranan yang tersemai dalam jiwa. Oleh itu,setiap individu haruslah memiliki semangat kejiranan yang tinggi demi mengekalkan keharmonian dan kemakmuran negara yang berbilang kaum. Namun begitu,semangat kejiranan semakin luntur dalam kalangan masyarakat kini. Justeru,senario ini haruslah disusuli dengan langkah yang efektif supaya dapat dibendung sebelum masalah seumpama ini terus menular menjadi barah yang akan menjejaskan keharmonian negara.

             Terdapat pelbagai langkah yang boleh diambil untuk memupuk semngat kejiranan , antaranya menghidupkan kembali amalan bergotong-royong .Hal ini membolehkan masyarakat bersama-sama menjalankan pelbagai aktiviti seperti membersihkan kawasan kediaman, memperbaiki alat kelengkapan di taman-taman perumahan, menebas semak-samun yang mungkin menjadi tempat persembunyian para penjenayah dan sebagainya. Amalan bergotong-royong ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim sesama anggota masyarakat yang terdiri daripada pelbagai keturunan dan latar belakang.Aktiviti ini juga boleh melahirkan semangat kerjasama sesama jiran , bak kata pepatah “hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah”.Oleh itu, kita mestilah menghidupkan kembali amalan bergotong-royong kerana amalan ini dapat menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

 Seterusnya, kita perlulah memelihara hak jiran kita kerana ia selari dengan tuntutan agama. Apa yang dimaksudkan dengan hak jiran ialah dengan menghormati jiran dan pengamalan mereka selagimana tidak membawa mudharat. Sekalipun jiran tersebut bukanlah beragama Islam maka menghormati dan tidak menganggu kehidupan dan pengamalan mereka misalnya ibadah mereka dalam agama mereka seperti yang dilakukan oleh orang-orang Cina dengan meletakkan tokong di luar rumah maka hendaklah dihormati selagimana tidak membawa bahaya dan mudharat. Umat Islam yang bertimbang rasa dan menyedari serta memahami hukum-hukum agama, adalah merupakan manusia yang paling baik hubungannya terhadap jiran-jirannya. Mereka akan sentiasa mencurahkan segala bakti demi kebaikan jiran mereka yang merupakan manusia yang paling mereka kasihi. Islam banyak menyeru umatnya agar sentiasa menjaga dan memelihara hubungan dengan jiran. Menyedari betapa tingginya kedudukan jiran di dalam Islam dan peranannya dalam kehidupan kemanusiaan. Antara hak jiran yang lain yang perlu dipelihara adalah sentiasa memberi layanan baik dan kasih sayang serta akhlak yang baik dalam muamalah dengan mereka.

         Kita juga boleh mengadakan rumah terbuka juga merupakan salah satu langkah yang boleh menghidupkan kembali semangat kejiranan. Melalui amalan ini, ziarah-menziarahi dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat terutama pada hari-hari perayaan kaum masing-masing. Amalan rumah terbuka ini memberi ruang kepada masyarakat untuk menjalin kemesraan walaupun mereka menyambut perayaan yang berbeza. Sebagai contoh, penduduk berketurunan India menziarahi jirannya yang beragama Islam pada Hari Raya Aidil Fitri dan orang Iban yang berjiran dengan penganut Kristian akan mengunjungi jiran mereka pada hari Natal, sekali gus dapat mengeratkan hubungan kejiranan sesama insan. Oleh itu, kempen amalan rumah terbuka harus diperhebatkan lagi agar boleh mendatangkan pelbagai manfaat dan kebaikan kepada seluruh warga Malaysia yang mendiami di bumi bertuah ini.

        Selain itu, langkah yang boleh diambil dalam usaha memupuk semangat kejiranan termasuklah mengamalkan amalan ziarah-menziarahi. Amalan ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran. Malah,amalan ziarah-menziarahi ini sangat digalakkan dalam Islam. Misalnya,apabila jiran bertandang ke rumah,sudah semestinya kita akan menyambut baik kedatangan mereka dan melayan mereka dengan penuh adab sopan. Hal ini seterusnya akan melahirkan rasa hormat dan kasih sayang sesama individu. Oleh itu,amalan ziarah-menziarahi wajar dibudayakan dalam masyarakat.

          Akhir sekali, semangat kejiranan yang semakin luntur tidak wajar dipandang enteng. Sebaliknya, perlulah dianggap sebagai satu perkara yang sangat penting dalam masyarakat. Kerajaan haruslah terus melakukan usaha-usaha yang boleh mengukuhkan lagi perpaduan dalam masyarakat di negara kita. Sebesar rumah bermula dengan seketul bata. Oleh itu,perpaduan kaum haruslah bermula semangat kejiranan yang utuh.


KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN
         Kepentingan semangat kejiranan dapat  memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu   tempat. Kerjasama   ini   boleh   dipupuk   melalui   penglibatan   anggota   masyarakat  dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong,   majlis   sambutan   perayaan   atau   perjumpaan   bulanan   komuniti   dapat mempertemukan  semua  jiran,   saling  berkenalan  dan   merapatkan  hubungan. Mereka   akan  lebih mesra, saling membantu  bagai aur dengan tebing  tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal   ini   menunjukkan  bahawa  semangat   kejiranan   yang   dipupuk   dapat  membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang  kukuh dan ampuh.  Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat  membentuk semangat kekitaan  dan melahirkan   masyarakat   yang   bersatu   padu.  Semangat   kejiranan   membolehkan  semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting   dalam   membentuk   masyarakat   yang   bersatu   padu   dan   seterusnya   dapat   memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

         Seterusnya , semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.

            Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.

             Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara . Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan  contoh paling jelas, dan atas sokongan  rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka  melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melaonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.
  
                 Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat  disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.


KEBAIKAN MENGAMALKAN SEMANGAT KEJIRANAN

         Antara kebaikan semangat kejiranan ialah kita akan mudah mendapat bantuan jika kita menghadapi sesuatu masalah. Seperti yang kita sedia maklum bahawa kehidupan kita tidak dapat lari daripada perkara luar dugaan seperti kebakaran, kemalangan atau kematian. Jika kita menghadapi sesuatu bencana  sudah tentunya jiranlah orang yang paling cepat dapat membantu kita. Begitu juga jlka kita sakit, jiranlah  yang kita harapkan untuk menghantar kita ke klinik atau hospital bagi mendapatkan rawatan.

            Selain itu, semangat kejiranan yang terjalin akan menjamin keselamatan tempat tinggal kita. Semangat kejiranan akan mendorong jiran kita menjaga keselamatan tempat tinggal kita. Jika jiran kita mendapati ada orang yang tidak dikenali datang atau memasuki rumah kita pada waktu kita tiada di rumah, jiran pasti akan menghubungi kita. Contoh pada musim perayaan, jika kita pulang ke kampung untuk menziarahi rumah saudara-mara, jiranlah orang yang kita harapkan dapat membantu menjaga rumah kita. Kebaikan lain semangat kejiranan ialah jiran akan dapat membantu kita dalam menjayakan majlis keramaian. Majlis keramaian yang kita adakan kadangkala memerlukan bantuan jiran di sekeliling kita. Dengan adanya bantuan jiran ini majlis tersebut menjadi ringan dan berjaya dilaksanakan.


         Kebaikan semangat kejiranan yang seterusnya ialah jiran akan dapat membantu kita dalam menjayakan majlis keramaian. Majlis keramaian yang kita adakan kadangkala memerlukan bantuan jiran di sekeliling kita. Dengan adanya bantuan jiran ini majlis tersebut menjadi ringan dan Berjaya dilaksanakan. Semangat kejiranan yang terjalin juga membolehkan gejala negatif di tempat tinggal kita dicegah. Jiran yang baik, pastinya dapat mendidik dan menasihati  anak mereka agar tidak melakukan perkara negatif yang boleh mengganggu ketenteraman membuat bising dan perkara berbahaya di kawasan kejiranan

         Di samping itu, semangat kejiranan membantu memupuk semangat perpaduan  dikalangan rakyat dalam Negara kita. Perpaduan yang terjalin akan membolehkan rakyat hidup dalam keadaan aman dan damai.


KESIMPULAN

          Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri  masyarakat yang berkualiti.  Selain itu , perpaduan juga adalah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan. Oleh itu , semangat kejiranan memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

      Semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana  rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan.

       Akhir sekali, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.


CONTOH







RUJUKAN


No comments:

Post a Comment